Jelasnya kini sudah ada pemimpin Melayu mahu orang Melayu meninggalkan konsep ketuanan Melayu. Tetapi ketuanan Melayu itu apa sebenarnya? Tak perlulah bijak pandai menerangkannya. Kerana semuanya ada dihuraikan dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia membabitkan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan Hak Istimewa orang Melayu.
Tidak pasti apa tujuan pemimpin politik ini menyarankan orang Melayu tinggalkan ketuanan Melayu. Barangkali seperti dikatakan banyak orang pemimpin Melayu ini mahu mempengaruhi orang bukan Melayu. Hanya yang dibimbangi pemimpin yang majoriti partinya terdiri daripada orang Melayu akan meninggalkannya kerana marah dengan pernyataannya. Manalah tahu satu ketika nanti pemimpin Melayu ini seperti kata pepatah Melayu " yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran."
Hari ini, 30 November 2010 Dr. Awang Sariyan melalui emelnya menyatakan sikapnya dengan berpuisi seperti berikut:
Maaf Hamba Bertanya
Maaf hamba bertanya:
Masihkah tuan hamba percaya?
tamadun kita lebih dua alaf usianya
sudah terbina sistem pemerintahannya
Wilayah takluknya hingga ke Senggora dan Langkasuka
Berita kebesarannya dan hubungan akrabnya sampai di Sri Lanka
Bahasanya menjadi wahana pentadbiran
juga bahasa dagang antara mancabangsa
dan bahasa para pendeta mengaji agama
Maaf hamba bertanya:
Masihkah tuan hamba percaya?
tamadun kita sudah cemerlang, gemilang dan terbilang
pada zaman kesultanannya
di serata pelosok alam Melayu wujud kerajaan dengan daulatnya
hidup bersendikan adat, adat bersendikan syarak
- Samudera Pasai, Melaka, Aceh, Patani, Kalimantan, Riau-Johor-Lingga
Dagang dan santeri memakmurkan iktisad dan ilmu bangsa
Ulama', pujangga dan pencerita menghasilkan karya
- perihal agama wahyu, ilmu duniawi, undang-undang peraturan, ketatanegaraan, kisah dan ceritera
dalam prosa dan puisi bermutu
Bahasa Melayu masyhur hingga ke Turki dan Parsi
dipelajari dan dikuasai menjadi syarat mendatangi negeri
diperikan menyamai bahasa Latin dan Perancis di benua atas angin
Maaf hamba bertanya:
Masihkah tuan hamba percaya?
tamadun yang kita warisi daripada keutuhan sejarah
kita jadikan asas kenegaraan kala menuntut pembebasan
agama tonggak kehidupan
bahasa wahana pemikiran
budaya teras peradaban
hak peribumi dikembalikan
hak saudara senegara diperkongsikan
raja nan adil dipertuankan
Maaf hamba bertanya:
Masihkah semua itu tuan hamba pertahankan
dalam mengendalikan watan?
~ Awang Sariyan aka Kembara Bahasa ~
30 November 2010, 10.00 malam
Beijing Shi
Terpegun juga kita membacanya. Nasib orang Melayu hari ini telah diperkutak-katik oleh sesetengah pemimpin Melayu yang sanggup menggadaikan nama banganya sendiri. Terfikir juga apakah ini semuanya berpunca daripada sikap jati diri kita, lantas
"maafkan hamba menukilkan:
di manakah letaknya jati diri
atau ia hanya satu refleksi asas terjelma dari denyutan jantung semula jadi
dari orang yang tak mengerti di mana dia berada kini
atau ia cuma lakonan di pentas yang tak berwajah
yang mewarnai degup jantungnya
yang dipenuhi kulat siasah
yang kotor lagi mengaibkan."
afyassin
1 disember 2010
No comments:
Post a Comment