Rencana ini dipetik sepenuhnya daripada akhbar Berita Harian, 23 Disember 2010.
Kenapa Singapura terus memperlekeh Malaysia
Bersama Rejal Arbee
2010/12/23
Perwatakan Melayu dianggap sering beralah memakan diri
APAKAH masalahnya dengan kepemimpinan negara jiran kita, Singapura dan sesetengah rakyatnya berterusan memperlekeh negara ini. Terakhir ialah pandangan yang sungguh mencemuhkan kita, khususnya oleh pimpinan agungnya, Lee Kuan Yew, mahu pun tiga diplomat kanannya yang sedikit pun tidak menunjukkan perangai sebagai diplomat.
Pendedahan oleh WikiLeaks awal bulan ini memberi gambaran bagaimana jeleknya pandangan ketiga-ketiga diplomat kanan republik itu terhadap kita dan juga beberapa negara lain, termasuk Jepun dan India. Mereka terdiri daripada Peter Ho (bekas Setiausaha Tetap Kementerian Luarnya), Bilahari Kausikan (Setiausaha Tetap Kementerian itu), kebetulan berada di sini sekarang mengetuai perwakilan republik itu dalam rundingan lanjut mengenai tanah Keretapi Tanah Melayu (KTM) di republik itu) dan duta kelananya, Tommy Koh. Mereka semua diberitakan berpandangan begitu rendah sekali terhadap kita dan pimpinan negara seperti Thailand, India, Jepun. Apakah agaknya dalam pemikiran mereka sehingga menunjukkan bahawa bongkak dan angkuhnya mereka terhadap kita dan beberapa negara lain itu.
Begitu menghina sekali pandangan Kausikan terhadap kita yang dianggapnya sebagai ‘keliru dan berbahaya’ dengan ‘kemungkinan besar tercetus pertelingkahan kaum yang boleh membawa kepada penghijrahan beramai-ramai rakyat berketurunan Cina ke Singapura hingga menenggelaminya.’ Kausikan menambah lagi: “ketandusan pimpinan yang cekap adalah satu masalah benar yang dihadapinya”.
Beginilah pandangan seorang diplomat kanan republik itu terhadap negara ini dan pimpinan kita dan kini sibuk mengepalai rombongan untuk berunding mengenai tanah kepunyaan KTM. Saya tidak hairan pimpinan ulung mereka, Kuan Yew bersikap kiasu dan memandang rendah terhadap negara ini dan rakyatnya, khususnya orang Melayu serta pimpinan beberapa negara lain seperti Myanmar yang dianggapnya bodoh dan Korea Utara katanya sebagai tidak berfikiran waras dengan mempunyai seorang pemimpin tua menggeleber dan gilakan sanjungan.
Menteri Mentor Singapura, En. Lee Kuan Yew (kiri) dengan Menteri Besar Kelantan, Dato' Nik Aziz Nik Mat dalam satu pertemuan.
Walaupun sudah lebih 45 tahun Singapura dikeluarkan dari Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman pada 1965, tetapi, Kuan Yew masih tidak boleh melupakan peristiwa yang amat pahit baginya.
Tunku ketika itu berterusan tidak mahu melayan usahanya supaya beliau mengetepikan MCA yang dipimpin Tun Tan Siew Sin yang diremehkan Kuan Yew sebagai seorang yang bukannya boleh mewakili orang Cina sebab tidak boleh berucap dalam bahasa Cina.
Baginya hanya parti pimpinannya, PAP sajalah yang boleh mewakili orang Cina. Ini adalah daripada ketaksuban kebolehannya bahawa Singapura adalah terlalu kecil bagi seorang yang ‘geliga’ sepertinya.
Sememangnya ketika negara ini diwujudkan pada 1963 dengan gabungan tiga negeri baru, Singapura, Sabah dan Sarawak, Lee mempunyai harapan menjadikan negara yang baru wujud itu sebagai landasan baginya berperanan besar pada peringkat Pusat.
Oleh itu, pada Pilihan Raya Umum 1964 partinya PAP bertanding bermati-matian memainkan soal perkauman dengan laungan ‘Malaysian Malaysianya’ untuk mempengaruhi pengundi Cina memaling sokongan daripada MCA kepada partinya.
Alangkah terkejutnya apabila PAP hanya memenangi satu kerusi saja di Bangsar ketika itu dengan orang kuatnya, Devan Nair berjaya dipilih.
Saya masih teringat bagaimana dia keluar dari biliknya di Pesuruhjaya Singapura di Jalan Tun Razak (ketika itu Jalan Pekeliling) bersebelahan Kelab Golf Diraja untuk menemui kami (pemberita) pada pagi hari selepas keputusan menunjukkan rakyat Malaysia menolak partinya.
Mukanya merah padam dan jelas sekali dia tidak dapat menerima penolakan partinya oleh rakyat Malaysia, khususnya pengundi Cina yang terus menyokong MCA. Walaupun rakyat negara ini menolaknya, dia masih meneruskan dengan laungan ‘Malaysian Malaysia’ hingga mewujudkan suasana yang amat cemas hingga Tunku membuat keputusan mengeluarkan republik itu dari Malaysia.
Inilah suatu hal yang tidak dapat diterimanya, khususnya daripada pimpinan Melayu dan dengan itu berterusan berusaha meremehkan negara ini dalam serba-serbi rundingan untuk menyelesaikan pelbagai masalah akibat daripada perpisahan pulau itu dari Malaysia pada 1965.
Sebenarnya, Malaysia nampaknya sudah banyak mengalah dengan Singapura dalam berbagai-bagai hal, termasuk perpecahan MSA (Malaysia-Singapore Airlines) menjadi dua syarikat penerbangan dengan penubuhan Singapore Airlines dan MAS – Malaysia Airlines System yang mana jelas Singapura mendapat yang terbaik, termasuk semua hak penerbangan ke luar negara dengan MAS hanya mempertahankan hak penerbangan dalam negara saja.
Bahkan hingga sekarang ini masalah bekalan air Johor ke republik itu dan kemahuannya supaya kita membenarkan jet pejuangnya berlatih di ruang Johor, misalnya masih berlarutan tanpa penyelesaian hanya kerana mereka ini begitu bongkak dan tidak mahu beralah dengan pemimpin Melayu.
Masalahnya ialah perwatakan Melayu yang sering saja beralah kerana tidak mahu menimbulkan perasaan tidak selesa dengan puak yang mereka berbalah atau berunding. Tempias pandangan yang begitu rendah terhadap kebolehan pemimpin negara ini, khususnya orang Melayu juga mempengaruhi pemimpinnya yang lain, termasuk rakyatnya.
Maka tidak menghairankan anggapan rakyatnya terhadap negara ini sebagai sebuah negara ‘gila’ oleh sekumpulan rakyatnya. Peristiwa jelek ini diceritakan rakyat Malaysia, Lim Chai Heng dari Batu Pahat yang ‘menemui’ sekumpulan rakyat negara itu ketika beliau melancong ke Taiwan pada November lalu.
Apa yang dihadapinya dihuraikan dalam tulisannya kepada The New Sunday Times, Ahad lalu. Beliau hairan dengan anggapan tidak bersopan itu bahawa Malaysia adalah sebuah negara tidak siuman. Lim dengan megahnya berkata: “Saya berbangga datang dari Malaysia ‘gila’ ini”. Syabas kita ucapkan kepada Lim. Penulis ialah Felo Kanan UKM
Komen: Rasanya tak perlu komen apa-apa.Kecuali mungkin tindakan Syed Jaafar Albar, Singa UMNO dan Ketua Pemuda UMNO ketika itu marahkan Tunku sebab mengeluarkan Singapura daripada Malaysia. Mahu tahu lebih lanjut cerita kemarahan Syed Jaafar ini sila rujuk sejarah perpisahan Malaysia-Singapura
FRIDAY NOTES (20/12/2024) FROM THE QURAN - NO ONE KNOWS THE FUTURE, NO ONE
KNOWS THE UNSEEN
-
*Non-Muslims can skip this. But it is short and maybe useful. *
*Surah 31:34 **إِنَّ ٱللَّهَ عِندَهُۥ عِلْمُ ٱلسَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ
ٱلْغَيْثَ وَيَعْل...
1 day ago
No comments:
Post a Comment