Kasihan novel Interlok karya Dato' Abdullah Hussein (Bung Dollah). Entah kenpa tiba-tiba novel ini dikatakan bermesejkan perkauman. Padahal, novel ini telah begitu lama diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Apabila nak jadi buku teks ada pula masalahnya. dengar cerita nak kena tarik balik. Walaupun ada yang nafikan penarikan balik itu, tetapi novel itu telah masuk karya yang tak diingini dalam sistem pendidikan negara.
Siapa yang kenal dengan Bung Dollah pasti akan kecewa dengan sikap pihak yang membuat keputusan itu. Sudahkah disemak kandungan ceritanya sejak awal-awal lagi? Bila dah terpilih kabarnya akan ditarik balik. Apakah ada agenda tertentu oleh pihak yanG tak sukakan novel ini jadi buku teks di sekolah-sekolah?
Dato' Abdullah Husein (Bung Dollah) serius orangnya ketika bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka. Tak terlintas pula karyanya Interlok berunsur perkauman.
Satu ketika dahulu, dalam awal tahun 1970-an, semasa bertugas sama-sama di DBP, kawan-kawan sekerja yang bertugas di bilik majalah dan bersebelahan dengan bilik kerja Bung Dollah kenal sangat siapa beliau. Masih kami ingat, kawan-kawan sekerja seperti Wijaya Mala, Awam Il-Sarkan, Karim Abdullah, Dharmawijaya, Shamsuddin Jaafar dan Kemala berbual-bual, bercerita tentang sastera. Sesekali datang Cikgu Buyong Adil dari Bahagian Buku Pelajaran.
Cikgu Buyong selalu sahaja mengusik kami sambil bergurau. Katanya, " Apalah kamu semua ini, mereka cerita angan-angan? Cerita dalam sastera itu bukankah cerita daripada angan-angan. Tak berpijak di bumi nyata?"
Gurauan Cikgu Buyong kita tak ambil kisah sangat. Kami tahu Cikgu Buyong orang sejarah. Beliau menulis tentang sejarah setiap negeri di Malaysia. Itu tugasnya. Barangkali untuk mencari hiburan beliau turun ke Bahagian kami untuk menenangkan fikiran. Kami pun rasa terhibur.
Bung Dollah sering menjadi sasaran Cikgu Buyong. Saleh Daud yang duduk berdepan dengan Bung Dollah yang tak banyak cakap hanya senyum mendengar Cikgu Buyong menyindir Bung Dollah. . Dan di bilik satu lagi, Usman Awang sibuk dengan tugasnya, dengan fail-fail sastera di atas mejanya. Kadang-kadang terdengar suara Awam il-Sarkam (kami panggilnya Pak Awam) mengarahkan muncungnya kepada Usman, "Kita lihat Dol Keropok sebelah. Sibuk memanjang."
Dan dalam keadaan yang begitu tiba-tiba pintu bilik terbuka dan menjengah Wijaya Mala sambil bersuara dengan ketawa, "Assalamualaikum Haji Tahir!" Kepada siapa ditujukan salam itu, kami kurang pasti. Kepada Pak Awam kah? Atau Bung Dollah kah? Aau kami semua? Begitulah suasana.
Tak pernah pula kami dengar Bung Dollah bercerita tentang kaum dan perkauman. telah banyak juga novel dilahirkan Bung Dollah. Ada yang kami baca. Ada yang tidak. Mungkin juga apa yang kami baca itu tidak kami nilai daripada sudut politiknya atau unsur perkaumannya. Maka kami mungkin tak sedar.
Apapun jua, suasana di bilik majalah itu memang ceria. Walaupun Bung Dollah tak banyak cakap tetapi apabila bersama-sama kami, beliau tumpang bersembang dalam suasana santai. Malah Saleh Daud yang juga pendiam orangnya tumpang semangkuk. Bung Dollah dan Cikgu Buyong, duo yang kami anggap serius dalam tugas, sempat berjenaka tentang cerita yang mereka berdua alami kononya semasa di Singapura yang dikaitkan dengan bintang-bintang filem Jalan Ampas.
Bung Dollah tentu masih ingat cerita dan gurauannya bersama Cikgu Buyong. Dan bayangkan ada di kalangan kawan-kawan yang betul-betul percaya cerita dua tokoh ini. Tak pasti siapa yang berangan-angan membuat cerita: Cikgu Buyong atau Bung Dollah? Cikgu Buyong kata orang sastera suka berangan-angan bikin cerita dan katanya Bung Dollah memang tukang cerita! Namun tidak pula kita dengar Bung Dollah ada menyelitkan unsur perkauman dalam ceritanya!
MAYBE RAFIZI IS BUSY PLAYING WITH THE COINS IN HIS POCKET?
-
*You can listen to the message here.*
10 hours ago
Cerita di sebalik cerita dalam novel interlok ini menarik. Kisah dua tokoh persuratan yang pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka yang sebelumnya bekerja di Singapura. Kalau tak silap saya, Cikgu Buyong pernah bertugas di jabatan Pendidikan Singapura dan Abdullah pernah dekat dengan Studio Jalan Ampas. Datuk Abdullah Hussein dan Cikgu Buyong Adil. Saya sering mendengar nama Buyong Adil ini dan juga Abdullah Hussein kerana ketika itu saya tinggal berhampiran dengan Singapura, iaitu di Johor Bahru.
ReplyDeleteSaya cuma ingin nak tahu cerita mereka berdua tentang apa sebenarnya yang terjadi antara Abdullah dan Buyong Adil dan kaitannya dengan artis Singapura di Jalan Ampas. Adakah ia melibatkan artis wanita atau lelaki?
Barangkali ada yang dapat berkongsi pendapat.